Memaparkan catatan dengan label Renungan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Renungan. Papar semua catatan

24 Jan 2013

couch mode print story

Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1434H / 2013M


Selamat datang ke blog Bicara Blogger. Hari ini semua umat Islam di seluruh dunia menyambut hari keputeraan junjungan besar Nabi kita Nabi Muhammad S.A.W. Dengan tema " Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah" pada tahun ini, diharapkan kita semua akan cuba mencontohi keperibadian pemimpin agung kita Nabi Muhammad S.A.W. Marilah kita sama-sama meluangkan sedikit masa dengan menghayati kisah Nabi Muhammad S.A.W. Moga kita mendapat seribu satu kekuatan dariNya.


Kisah Nabi Muhammad  S.A.W Dengan Pengemis Buta

“Wahai saudaraku! Jangan engkau dekati Muhammad itu. Dia orang gila. Dia pembohong. Dia tukang sihir. Jika engkau mendekatinya, engkau akan dipengaruhinya dan engkau akan menjadi seperti dia,” kata seorang pengemis buta Yahudi berulang-ulang kali di satu sudut pasar di Madinah pada setiap pagi sambil tangannya menadah meminta belas orang yang lalu-lalang.

Orang yang lalu-lalang di pasar itu ada yang menghulurkan sedekah kerana kasihan malah ada juga yang tidak mempedulikannya langsung.

Pada setiap pagi, kata-kata menghina Rasulullah SAW itu tidak lekang daripada mulutnya seolah-olah mengingatkan kepada orang ramai supaya jangan terpedaya dengan ajaran Rasulullah SAW. Seperti biasa juga, Rasulullah SAW ke pasar Madinah. Apabila baginda sampai, baginda terus mendapatkan pengemis buta Yahudi itu lalu menyuapkan makanan ke mulutnya dengan lembut dan bersopan tanpa berkata apa-apa.

Pengemis buta Yahudi yang tidak pernah bertanya siapakah yang menyuapkan itu begitu berselera sekali apabila ada orang yang baik hati memberi dan menyuapkan makanan ke mulutnya.

Perbuatan baginda itu dilakukannya setiap hari sehinggalah baginda wafat. Sejak kewafatan baginda, tidak ada sesiapa yang sudi menyuapkan makanan ke mulut pengemis itu setiap pagi.

Pada satu pagi, Saidina Abu Bakar ra pergi ke rumah anaknya, Siti Aisyah yang juga merupakan isteri Rasulullah SAW untuk bertanyakan sesuatu kepadanya.

“Wahai anakku Aisyah, apakah kebiasaan yang Muhammad lakukan yang aku tidak lakukan?”, tanya Saidina Abu Bakar ra sebaik duduk di dalam rumah Aisyah.

“Ayahandaku, boleh dikatakan apa sahaja yang Rasulullah lakukan, ayahanda telah lakukan kecuali satu,” beritahu Aisyah sambil melayan ayahandanya dengan hidangan yang tersedia.

“Apakah dia wahai anakku, Aisyah?”

“Setiap pagi Rasulullah akan membawa makanan untuk seorang pengemis buta Yahudi di satu sudut di pasar Madinah dan menyuapkan makanan ke mulutnya. Sejak pemergian Rasulullah, sudah tentu tidak ada sesiapa lagi yang menyuapkan makanan kepada pengemis itu,” beritahu Aisyah kepada ayahandanya seolah-olah kasihan dengan nasib pengemis itu.

“Kalau begitu, ayahanda akan lakukan seperti apa yang Muhammad lakukan setiap pagi. Kamu sediakanlah makanan yang selalu dibawa oleh Muhammad untuk pengemis itu,” beritahu Saidina Abu Bakar ra kepada anaknya.

Pada keesokan harinya, Saidina Abu BAkar ra membawakan makanan yang sama seperti apa yang Rasulullah SAW bawakan untuk pengemis itu sebelum ini. Setelah puas mencari, akhirnya beliau bertemu juga dengan pengemis buta itu. Saidina Abu Bakar ra segera menghampiri dan terus menyuapkan makanan ke mulut pengemis itu.

“Hei… Siapakah kamu? Berani kamu menyuapku?” Pengemis buta itu mengherdik Saidina Abu Bakar ra. Pengemis buta itu terasa lain benar perbuatan Saidina Abu Bakar ra itu seperti kebiasaan.

“Akulah orang yang selalu menyuapmu setiap pagi,” jawab Saidina Abu Bakar ra sambil memerhatikan wajah pengemis buta itu yang nampak marah.

“Bukan! Kamu bukan orang yang selalu menyuapku setiap pagi. Perbuatan orang itu terlalu lembut dan bersopan. Aku dapat merasakannya, dia terlebih dahulu akan menghaluskan makanan itu kemudian barulah menyuap ke mulutku. Tapi kali ini aku terasa sangat susah aku hendak menelannya,” balas pengemis buta itu lagi sambil menolak tangan Saidina Abu Bakar ra yang masih memegang makanan itu.

“Ya, aku mengaku. Aku bukan orang yang biasa menyuapmu setiap pagi. Aku adalah sahabatnya. Aku menggantikan tempatnya,” beritahu Saidina Abu Bakar ra sambil mengesat air matanya yang sedih.

“Tetapi ke manakah perginya orang itu dan siapakah dia?”, tanya pengemis buta itu.

“Dia ialah Muhammad Rasulullah. Dia telah kembali ke rahmatullah. Sebab itulah aku yang menggantikan tempatnya,” jelas Saidina Abu Bakar ra dengan harapan pengemis itu berpuas hati.

“Dia Muhammad Rasulullah?”, kata pengemis itu dengan suara yang terkedu.

“Mengapa kamu terkejut? Dia insan yang sangat mulia,” beritahu Saidina Abu Bakar ra. Tidak semena-mena pengemis itu menangis sepuas-puasnya. Setelah agak reda, barulah dia bersuara.

“Benarkah dia Muhammad Rasulullah?”, pengemis buta itu mengulangi pertanyaannya seolah-olah tidak percaya dengan berita yang baru didengarnya itu.

“Ya benar. Kamu tidak percaya?”

“Selama ini aku menghinanya, aku memfitnahnya tetapi dia sedikit pun tidak pernah memarahiku malah dia terus juga menyuap makanan ke mulutku dengan sopan dan lembut. Sekarang aku telah kehilangannya sebelum sempat memohon ampun kepadanya,” ujar pengemis itu sambil menangis teresak-esak.

“Dia memang insan yang sangat mulia. Kamu tidak akan berjumpa dengan manusia semulia itu selepas ini kerana dia telah pun meninggalkan kita,” beritahu Saidina Abu Bakar ra.

“Kalau begitu, aku mahu kamu menjadi saksi. Aku ingin mengucapkan kalimah syahadah dan aku memohon keampunan Allah,” ujar pengemis buta itu.

Selepas peristiwa itu, pengemis itu telah memeluk Islam di hadapan Saidina Abu Bakar ra. Keperibadian Rasulullah SAW telah memikat jiwa pengemis itu untuk mengakui ke-Esaan Allah SWT.



18 Jan 2013

couch mode print story

Amalan Ayat Dan Surah Serta Kebaikannya

Selamat datang ke blog Bicara Blogger. Alhamdulillah kita semua masih lagi diberi kesempatan untuk meneruskan sehari lagi perjalanan hidup kita dibumi Allah SWT. Semoga di hari Jumaat ini, penghulu segala hari kita diberikan keredhaan olehNya dalam menempuh perjalanan hari ini. Disini aku ingin sama-sama berkongsi dengan anda semua amalan ayat dan surah serta kebaikannya. Moga ianya bermanfaat buat kita semua.


1 - BISMILLAH ( Dengan Nama Allah )

Barangsiapa membaca sebanyak 21 kali ketika hendak tidur, nescaya terpelihara dari godaan dan gangguan syaitan, dari bencana manusia dan jin, daripada kecurian dan kebakaran, dan daripada kematian terkejut. Barang siapa membaca sebanyak 50 kali di hadapan orang yang zalim, hinalah dan masuk ketakutan dalam hati si zalim serta naiklah keberanian dan kehebatan kepada pembaca.

2 - SURAH AL-FATIHAH ( Pembukaan )

Barangsiapa membacanya sebanyak 41 kali diantara sembahyang sunatnya, nescaya permintaannya di perkenankan, jika sakit lekas sembuh dan nescaya dikasihi oleh makhluk dan ditakuti oleh musuh. Barang siapa membaca 20 kali sesudah tiap-tiap sembahyang fardhu, nescaya rezkinya dilapangkan oleh Tuhan dan bertambah baik keadaannya, serta bercahaya rohaninya.

3 - AYAT AL-KURSI ( Kekuasaan Allah )

Barangsiapa membacanya sekali selepas setiap sembahyang fardhu, nescaya terpelihara dari tipudaya dan ganguan syaitan. Dengan membacanya, seorang yang miskin akan menjadi kaya, dan jika dibaca ketika hendak tidur nescaya akan terselamat dari kecurian, kebakaran dan kekaraman. Barangsiapa sentiasa membaca ayat Al-Kursi, nescaya Allah akan kurniakan kepada ahli rumahnya kebaikkan yang tidak terhitung banyaknya. Barangsiapa berwudhuk lalu membaca sekali, nescaya Allah akan meninggikan darjatnya setinggi 40 darjat dan Allah akan mendatangkan para malaikat menurut bilangan hurufnya, seraya berdoa untuk sipembaca sehinggalah ke hari Qiamat.

Dan tersebut dalam hadith yang lain : Barangsiapa membacanya ketika hendak tidur, nescaya Allah akan membuka pintu rahmat baginya hingga kesubuh, dan mengurniakan kota nur menurut bilangan rambut dibadannya. Jika sipembacanya meninggal dunia pada malam itu, ia dikira mati syahid. Hadith yang lain mengatakan: Barangsiapa membacanya selepas setiap sembahyang fardhu, nescaya akan terpelihara dari kekerasan malakul-maut,, dan dia akan dibangkitkan bersama para Mujahid yang berjihad beserta para Anbiya hingga ia gugur mati Syahid. Imam Jaafar Shadiq r.a. mengatakan: Barangsiapa membaca sekali, nescaya Allah akan menghindar darinya 1,000 kesukaran duniawi, yang terkecil sekali ialah kemiskinan dan kepapaan, dan 1,000 kesukaran ukhrawi, yang terkecil sekali ialah azab neraka.

4 - SURAH AL-BAQARAH ( Sapi Betina )

Barangsiapa membaca dua ayat terakhir dari surah ini (Amanarrasulu) sebelum tidur, ia akan terselamat dari segala bala bencana dan mara bahaya.

5 - SURAH ALI-IMRAN ( Keluarga Imran )

Barangsiapa membaca tiga ayat yang pertama dari surah ini, Nescaya ia akan mencapai kesihatan dari segala penyakit dan terselamat dari gangguan jin.

6 - SURAH AN-NISSA' ( Perempuan )

Barangsiapa yang membaca ayat yang ke 75 dari surah ini, nescaya ia akan terselamat dari kejahatan para penjahat.

7 - SURAH AL-MAIDAH ( Hidangan )

Barang siapa membaca ayat yang ke 7 dari surah ini, sebanyak yang mungkin selama 3 hari berturut -turut, insya Allah akan terselamat dari was-was semasa wudhu dan sembahyang. Barang siapa membaca ayat 89 hingga ayat 101dari surah ini, keatas air lalu diberi minum kepada orang yang bercakap dusta, nescaya ia tidak akan bercakap dusta lagi.

8 - SURAH AL-AN'AM ( Binatang Ternak )

Barang siapa membacanya sebanyak 7 kali, nescaya akan terhindar dari segala bala bencana. Jika ayat 63 dan 64 dari surah ini,dibaca oleh penumpang kapal, ia akan terselamat dari karam dan tenggelam.

9 - SURAH AL-A'RAAF ( Benteng Tinggi )

Barang kali membaca ayat 23 dari surah ini, selepas tiap-tiap sembahyang fardhu, lalu beristighfar kepada Allah, nescaya akan terampun segala dosanya. Barang siapa membaca ayat 47 dari surah ini, ia akan terpelihara dari kekacauan para penzalim serta ia akan mendapat rahmat Allah.

10 - SURAH AL- ANFAL ( Rampasan )

Barang siapa membaca ayat 62 dan 63 dari surah ini, nescaya dia akan di cintai dan dihormati oleh sekalian manusia.

11 - SURAH AL-BARAAH (AT-TAUBAH) ( Pemutus perhubungan )

Barangsiapa membacanya, nescaya akan terselamat dari kemunafiqan dan akan mencapai hakikat iman. Barang siapa membaca ayat 111 dari surah ini, dikedai atau ditempat-tempat perniagaan, nescaya akan maju perniagaannya itu.

12 - SURAH YUNUS ( Yunus )

Barangsiapa membaca ayat 31dari surah ini, ke atas Perempuan yang hamil, nescaya ia melahirkan anak dalam kandungannya itu dengan selamat. Barangsiapa membaca ayat 64 dari surah ini, nescaya ia akan terhindar dari mimpi-mimpi yang buruk dan mengigau.

13 - SURAH AL-HUD ( Hud )

Barang siapa membaca, nescaya ia akan mendapat kekuatan dan Kehebatan serta ketenangan dan ketenteraman jiwa. Barang siapa membaca ayat 56 dari surah ini, pada setiap masa, nescaya ia akan terselamat dari gangguan manusia yang jahat dan binatang yang liar. Barang siapa membaca ayat112 dari surah ini, sebanyak 11 Kali selepas tiap-tiap sembahyang, nescaya akan mencapai ketetapan hati.

14 - SURAH YUSUF ( Yusuf )

Barang siapa membacanya, akan di murahkan rezekinya dan diberikan kemuliaan kepadanya. Barang siapa membaca ayat 64 dari surah ini, ia akan terhindar dari kepahitan dan kesukaran hidup.Barang siapa membac ayat 68 dari surah ini, nescaya Allah akan mengurniakan kesalehan kepada anak-anaknya.

15 - SURAH AR-RA'D ( Petir )

Barang siapa membaca ayat 13 dari surah ini, ia akan terselamat dari petir. Dan barangsiapa membaca ayat 28 dari surah ini, nescaya Penyakit jantungnya akan sembuh.

16 - SURAH IBRAHIM ( Ibrahim )

Barang siapa membaca ayat-ayat 32 hingga 34 dari surah ini, nescaya anak-anaknya akan terhindar dari perbuatan-perbuatan syirik dan bida'ah.

17 - SURAH AL-IIIJ'R ( Batu Gunung )

Barang siapa membaca 3 ayat yang terakhir dari surah ini, ke atas perempuan yang selalu anak kandungannya gugur, nescaya anak kandungannya itu akan terselamat, dari gugurnya.

18 - SURAH BANI ISRAIL ( Anak-anak Israil )

Barang siapa membacanya ke atas air, lalu diberi minum kepada orang yang bercakap gagap insya Allah akan hilang gagapnya itu. Barang siapa membaca ayat 80 dari surah ini, ketika ia pulang dari perjalanan, nescaya dia akan dimuliakan dan dihormati oleh orang- orang yang setempat dengannya.

19 - SURAH AL-KAHF ( Gua )

Barang siapa membacanya, akan terhindar dari kemiskinan dan kepapaan. Barang siapa membacanya pada malam Jumaat, nescaya dia akan mendapat rezeki yang murah.

20 - SURAH MARYAM ( Maryam )

Barang siapa membacanya, nescaya akan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat.

21 - SURAH THAAHAA ( Hai Manusia )

Barang siapa membacanya, nescaya Allah akan mengurniakan kepadanya ilmu pengetahuan dan akan tercapai segala maksudnya. Barang siapa membaca ayat-ayat 25 hingga 28 sebanyak 21 kali, tiap-tiap hari selepas sembahyang subuh nescaya otaknya akan cerdas dan akalnya akan sempurna.

22 - SURAH AL ANBIYA ( Nabi-Nabi )

Barang siapa membaca ayat 83 dari surah ini, nescaya dia akan mendapat sebesar-besar pangkat di sisi Allah s.w.t .

23 - SURAH AL-HAJ ( Haji )

Barang siapa membacanya, Allah akan membinasakan musuh-musuhnya.

24 - SURAH AL-MU'MINUN ( Orang-orang Mukmin )

Barang siapa membacanya ke atas air, lalu diberi minum kepada orang yang selalu minum minuman keras,nescaya dia tidak akan meminumnya lagi. Barang siapa membaca ayat 28 dari surah ini, nescaya perahunya akan terselamat daripada karam dan rumahnya akan terselamat dari kecurian dan serangan musuh.

25 - SURAH AN-NUUR ( Cahaya )

Barang siapa membacanya, nescaya ia akan terhindar dari mimpi-mimpi yang buruk. Barang siapa membaca ayat 35 dari surah ini, pada hari Jumaat sebelum sembahyang Asar, nescaya dia akan disegani oleh orang ramai.

26 - SURAH AL-FURQAN ( Pembaca )

Barang siapa membacanya sebanyak 3 kali ke atas air yang bersih, lalu air itu dipercikkan di dalam rumah, nescaya rumah itu akan terselamat dari gangguan binatang-binatang yang liar dan ular-ular yang bisa.

27 - SURAH ASY-SYU A'RA ( Ahli-ahli Syair )

Barang siapa membaca ayat 130 dari surah ini, sebanyak 7 kali dengan senafas ke atas orang-orang yang digigit oleh binatang-binatang yang berbisa nescaya akan hilang bisa-bisa itu.

28 - SURAH AN-NAML ( Semut )

Barang siapa membacanya nescaya nikmat-nikmat Allah akan kekal kepadanya.

29 - SURAH AL-QA-SHASH ( Cerita )

Barang siapa membacanya ke atas pekerja-pekerjanya, nescaya Mereka tidak akan mencuri dan mengkhianat. Barang siapa membaca ayat-ayat 51 hingga 55 dari surah ini, Nescaya otaknya akan cergas, akalnya akan sempurna dan budi pekertinya akan halus.

30 - SURAH AL-ANKABUT ( Labah-labah )

Barang siapa membacanya, nescaya demamnya akan sembuh. Barang siapa membacanya, nescaya ia akan terhindar dari gelisah dan keluh kesah.

31 - SURAH AR-RUM ( Rum )

Barang siapa membacanya, nescaya Allah akan membinasakan orang yang hendak menzaliminya.

32 - SURAH LUQMAN ( Luqman )

Barang siapa membacanya, nescaya ia akan terhindar dari segala-gala penyakit terutama dari penyakit-penyakit perut. Barang siapa membaca ayat 31 dari surah ini, nescaya akan terselamat dari bencana banjir.

33 - SURAH AS-SAJ DAH ( Sujud )

Barang siapa membaca ayat-ayat 7 hingga 9 dari surah ini, ke atas kanak-kanak yang baru lahir, nescaya ia akan terhindar dari segala- gala penyakit ruhani dan jasmani.

34 - SURAH AL-AHZAB ( Golongan-golongan )

Barang siapa membaca ayat-ayat 45 hingga 48 dari surah ini, nescaya ia akan mendapat kemuliaan dan kehormatan sejati. Dan barang siapa membaca ayat-ayat 60 hingga 66 dari surah ini, nescaya Allah akan membinasakan musuh-musuhnya.

35 - SURAH SABA' ( Saba' )

Dengan membacanya, terselamatlah ia dari segala-gala bala bencana, terutamanya dari rosaknya tanam-tanaman.

36 - SURAH FAATHIR ( Pencipta )

Barang siapa membaca ayat-ayat 29 dan 30, nescaya Allah akan memberkati perniagaannya.

37 - SURAH YAASIIN ( Hai Manusia )

Nabi kita Muhammad s.a.w bersabda : "Tiap-tiap sesuatu Mempunyai hati dan hati Al-Quran ialah surah Yaasiin." Yaasiin kerana Allah, nescaya akan terampun segala-gala dosanya kecuali dosa syirik.." Dalam satu hadith yang lain Baginda s.a.w bersabda: "Hendaklah kamu membaca surah Yaasiin ke atas pesakit-pesakitmu yang menghadapi sakaratul-maut, nescaya Allah s.w.t akan meringankan kekerasan sakaratul-maut itu."

Dalam satu hadith yang lain pula Baginda s.a.w bersabda: "Aku ingin benar, agar surah Yaasiin ini dihafaz oleh tiap-tiap umatku."

Barang siapa membacanya sebanyak 41 kali, pasti akan tercapai segala hajat dan cita-citanya. Barang siapa membacanya sebanyak 21 kali pada malam Jumaat, lalu berdoa istghfar untuk kedua ibu bapanya, nescaya dosa kedua ibu bapanya akan diampunkan oleh Tuhan. Barang siapa membaca sekali ketika membuka kedai atau perniagaan, nescaya akan maju perniagaannya itu. Barang siapa membacanya sekali pada awal malam, andaikata ia mati pada malam itu, mesti ia mati syahid. Barang siapa membacanya sekali selepas tiap-tiap sembahyang Jumaat, nescaya ia akan diselamatkan dari siksa kubur.

Jika dibacanya oleh seorang askar, ketika ia hendak turun kemedan peperangan, Allah akan mengurniakan kepadanya keberanian dan kegagahan, serta naiklah ketakutan pada musuh-musuhnya. Hikmat-hikmat dan khasiat-khasiat surah Yaasiin ini banyak benar didapati di dalam kitab-kitab hadith tetapi cukuplah setakat ini untuk diamal oleh anda sekalian.

38 - SURAH ASH-SHAAFFAAT ( Yang Berbaris )

Barang siapa membacanya, insya Allah in akan terpelihara daripada gangguan jin.

39 - SURAH SHAAD ( Shaad )

Dengan membaca ayat 42 dari surah ini, nescaya akan mendapat kebahagian sejati. Insyallah rakan- rakan semua akan mendapat berkat

Semoga apa yang dikongsikan ini membawa kita lebih dekat denganNya. Setiap amalan pasti akan dibalas dengan ganjaran yang amat hebat dariNya. InsyaAllah....

Sumber dari Koleksi Cerita Agama
-->

25 Okt 2012

couch mode print story

Pengertian Hari Raya Aidiladha


Selamat datang ke blog Blogger Theory. Esok semua umat Islam seluruh dunia akan menyambut Hari Raya Aidiladha. Disini aku ingin mengajak anda semua untuk sama-sama menghayati kembali apa yang dimaksudkan dengan Hari Raya Aidiladha ini sebenarnya. Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke-10, 11, 12 dan 13 bulan Zulhijjah setiap tahun.

Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah, semua hari-hari ini dipanggil Hari Tasyrik.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi perintah Allah SWT.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.
Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.
Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat dengan 7 takbir pada rakaat pertama diikuti 5 takbir pada rakaat kedua.

Pada kebiasaannya solat sunat Aidiladha dicepatkan sedikit berbanding solat sunat Aidilfitri. Hikmahnya dicepatkan sedikit waktu solat sunat Aidiladha adalah bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri pula adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakat menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid. 

Manakala bagi Aidiladha, hikmat disunatkan makan selepasnya supaya makanan yang mula-mula dimakan pada hari itu ialah daging korban yang berkat. Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan dagingnya kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Makkah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.

Begitulah antara pengertian Aidiladha. Semoga ibadah korban kali ini membawa seribu rahmat buat kita semua sebagai hambaNya dimuka bumi ini.


12 Okt 2012

couch mode print story

Masihkah Kau Ingat.... Part 2


Selamat datang ke blog Blogger Theory. Bila sudah adanya blog, kita pun mulalah menulis entri pertama yang berkaitan dengan kisah hidup seharian kita, apa yang kita lakukan hari ini, kita pergi kemana, apa yang berlaku di tempat kerja dan lain-lain lagi. kadang-kadang sampai 10 entri sehari kita tulis, belum kira gambar yang kita upload lagi dalam blog tu, seolah-olah ada satu semangat yang entah dari mana datangnya bila menulis blog itu. 

Minggu pertama sahaja sudah hampir 20 entri kita masukkan, minggu kedua pula macam tu juga, masih terus lagi bersemangat menulis entri-entri terbaru dalam blog. sudah hampir sebulan usia blog kita, pendek kata kita sudah semakin mahir mengendalikan blog dan tahu apa yang dimaksudkan dengan blog ini sebenarnya. Sambil kita menulis blog, kita luangkan sedikit masa membaca blog orang lain, cantiklah blog mereka ni, kemas dan santai sahaja bila kita baca blog mereka. 

Tukar template!! guna yang cantik dan kemas sikit macam blog mereka nie, barulah pembaca tertarik bila membaca blog kita. Ha..macam nie barulah cantik,kemas, santai sahaja bila orang baca blog kita. Semakin bersemangat kita berblog, tambahan pula kita sudah mula mempunyai pengikut tersendiri, dari seorang hinggalah mencapai puluhan pengikut malah ratusan pengikut blog kita. Tujuan berblogging masih lagi sama, menulis entri berkisarkan kehidupan harian kita sehinggalah..............
Anda mempunyai blog? Ketahui caranya bagaimana anda boleh buat duit dari blog anda sendiri
Baik dari iklan ataupun entri dari blog lain, perkataan Duit itu sesungguhnya menarik minat kita, jangan kata kita, sesiapa yang mempunyai blog juga pasti tertarik dengan soalan yang diberikan. Bagus juga, sambil menulis blog boleh juga buat duit dari blog nie. Baca punya baca, belajar punya belajar, baru tahu macam mana nak buat duit dari blog. Letak iklan pengiklan di blog kita rupanya, bila orang klik kita dapat duit. Mudah dan senang sahaja kerja kita.

Bila hasil sudah mula kelihatan, kita semakin ghairah meletak iklan di blog sampai semua tempat kita letakkan. Dari header, dalam entri, sidebar, sampailah ke footer penuh iklan yang dipasang. Nampak iklan lagi meriah pula dari entri yang ditulis. Tak kisahlah, yang penting dapat duit. Pembaca yang sebelum ini selesa membaca di blog kita sudah mula rimas dengan segala bentuk iklan yang dipasang, sampai nak menunggu loading blog memakan masa yang lama. Tapi kita tidak sedar yang ianya sedikit sebanyak mematikan blog kita sendiri.

Oleh kerana terlalu ghairah buat duit dari blog, kita semakin lupa tujuan kita berblog, kalau dahulu menulis blog mengenai kehidupan peribadi, kini entri semakin menjurus kepada cerita buat duit dengan blog. Entri tentang kisah hidup sudah lama tidak diceritakan, yang ada hanya buat duit,buat duit, buat duit dan begitulah seterusnya. Tidak salah, tetapi janganlah terlalu galak sangat bercerita income yang kita dapat, cukup sekadar memberi semangat dan motivasi buat blogger lain diluar sana.

Tapi itu dulu, kini kita telah matang dalam dunia blogging, kita sudah mula faham kehendak pembaca, faham akan keselesaan pembaca yang tidak mahu diganggu dengan pelbagai iklan yang keluar di blog kita. Entri kita sudah kembali seperti dulu, bercerita mengenai kisah hidup seharian kita dan diselang-selikan dengan ilmu blogging untuk dipelajari dan dipraktikkan oleh blogger-blogger lain diluar sana. Tujuan berblog kita kembali seperti asal, bukan semata-mata kerana duit. Semuanya dilakukan dengan rasa minat dan kesungguhan dalam dunia blogging. Semoga anda semua mendapat apa yang anda inginkan dalam dunia blogging ini.


11 Okt 2012

couch mode print story

Masihkah Kau Ingat.... Part 1


Selamat datang ke blog Blogger Theory. Masih ingat lagi pada entri Berakhirnya Hidup Seorang Blogger yang pernah aku tulis sebelum ini. Kali ini aku hendak membawa anda semua kembali ke masa mula-mula kita semua mengenali apa itu blog. Masihkah kau ingat.....

Sebelum ini kita tak pernah ambil tahu pun apa itu blog. Apa yang kita tahu, bila online sahaja main chatting kat mIRC, salah satu laman chat yang paling popular suatu masa dahulu. Habiskan masa berjam-jam di cyber cafe semata-mata nak chatting. Bila dah bosan chatting, beralih pula ke permainan game online seperti Counter Strike, Serious Sam dan sebagainya, kita tetap tak tahu juga apa itu blog. Sehinggalah suatu hari kita terdengar yang orang lain sudah mula bercakap mengenai blog. 

Bermula dari situ, kita mula mencari-cari maksud sebenar apa yang dimaksudkan dengan blog. Blog (ringkasan bagi weblog) ialah jurnal online yang digunakan bagi menyatakan pendapat peribadi, kisah kehidupan, yang sentiasa dikemaskini setiap hari. Dalam bahasa yang mudah difahami, blog merupakan buku diari kita yang dimiliki secara online. Ya, akhirnya kita tahu juga apa itu blog, yang kita tidak tahu lagi bagaimana kita hendak membina blog itu, dan dari manakah kita boleh memiliki blog kita sendiri. 

Lalu, dengan hati yang bersungguh-sungguh ingin membina blog, kita teruskan juga walau ilmu yang ada tidak setinggi mana. Blogspot, jumpa juga akhirnya sebuah platform percuma untuk membina blog. Dari langkah pertama hingga terakhir, semuanya diikuti dengan teliti dan........terbinalah sebuah blog yang diberi nama dot dot dot ( aku pasti mesti nama blog pertama ialah nama kita sendiri ) siap juga akhirnya. Bersambung.......


5 Okt 2012

couch mode print story

Asal Usul Kejadian Api


Selamat datang ke blog Blogger Theory. Api, apa yang anda semua tahu mengenai api? bagaimanakah asal usul kejadian api di bumi ini? disini aku kongsikan asal usul kejadian api di muka bumi. Renungkan..........

Diriwayatkan setelah Nabi Adam a.s diturunkan ke bumi setelah melanggar perintah Allah SWT kerana memakan larangan iaitu buah Khuldi, maka Allah SWT telah memerintahkan malaikat Jibril a.s supaya mengambil sedikit api dari neraka untuk dihantar ke dunia bagi kegunaan Nabi Adam a.s. Maka Jibril AS pun diperintahkan untuk meminta api tersebut daripada malaikat penjaga api neraka iaitu malaikat Zabaniah.


Malaikat Jibril : Wahai zabaniah, aku diperintah untuk mengambil sedikit api neraka untuk dihantar ke dunia bagi kegunaan Adam a.s.

Malaikat Zabaniah : Sebanyak mana sedikit itu wahai Jibril ?

Malaikat Jibril : Cukuplah jika engkau berikan sebesar sebiji buah kurma.

Malaikat Zabaniah : Wahai Jibril, jika sebesar buah kurma api neraka itu engkau bawa, nescaya akan cair lah tujuh lapisan langit dan tujuh lapisan bumi akibat kepanasannya.

Malaikat Jibril : Kalau begitu engkau berilah aku sebesar separuh dari buah kurma…

Malaikat Zabaniah : Kalau sebesar separuh buah kurma api neraka ini engkau letakkan di dunia, nescaya tidak akan turun walaupun setitik hujan dari langit dan tidak ada suatu pun tumbuhan akan tumbuh di bumi nanti…

Melihatkan keadaan yang rumit ini maka malaikat Jibril a.s. pun menghadap Allah SWT untuk menanyakan jumlah api neraka yang perlu di hantar ke dunia bagi kegunaan Nabi Adam a.s. Maka Allah SWT pun memerintahkan supaya malaikat Jibril a.s mengambil hanya sebesar ZARAH sahaja dari api neraka untuk di bawa ke dunia.

Maka malaikat Jibril a.s. pun mengambil api neraka sebesar zarah dari malaikat Zabaniah tetapi oleh kerana kepanasan yang keterlaluan, api neraka sebesar zarah itu terpaksa disejukkan dengan merendamnya ke dalam 70 buah sungai di syurga dengan 70 kali direndam pada setiap sebuah sungai. Selepas itu malaikat Jibril a.s. pun membawa api itu turun ke dunia dan diletakkan diatas sebuah bukit yang tinggi.

Sejurus setelah diletakkan api tersebut, tiba-tiba bukit itu terus meleleh dan cair. Kerana takut bumi akan musnah dan melebur, maka dengan segera malaikat Jibril a.s mengambil semula api tersebut dan menghantar semula ke neraka. Hanya sisa-sisanya sajalah yang terdapat di dunia ini seperti api yg sering kita gunakan untuk pelbagai keperluan termasuk api gunung berapi dan sebagainya.

Sekadar renungan untuk kita semua supaya  tidak terus hanyut dalam permainan duniawi......Sesungguhnya seksaan api neraka itu benar......

27 Sep 2012

couch mode print story

Anak, Satu Anugerah Yang Tidak Ternilai


Selamat datang ke blog Blogger Theory. Anak, satu anugerah yang tidak ternilai buat semua yang bergelar seorang ibu dan bapa. Bohonglah kalau tiada seorang pun yang tidak inginkan anak. Aku juga seperti mereka, sentiasa impikan untuk memiliki cahaya mata sendiri. Mungkin buat waktu ini, rezeki masih belum berpihak kepada aku tetapi aku tetap menanti saat hadirnya hari itu. InsyaAllah, hanya DIA yang mengetahui segalanya bila aku akan bergelar seorang bapa.

Melihatkan pada senario yang berlaku pada waktu sekarang, apakah ini yang dinamakan manusia? Hampir setiap hari kita dihidangkan dengan berita penemuan bayi yang dibuang oleh orang yang bergelar manusia. Layakkah dia digelar Manusia?? Anugerah Allah SWT yang tidak ternilai ini ditinggal, dibuang, dibunuh, dicampak oleh mereka yang bergelar Manusia!! kemana pergi naluri seorang ibu dan bapa?! Mendengar berita penemuan mayat bayi yang dibuang, cukup untuk membuat aku mengalirkan airmata. Kenapa? kerana aku merasakan mereka merupakan insan yang bertuah dikurniakan cahaya mata, bukan seperti aku atau pasangan lain yang masih belum menimang cahaya mata sendiri. 

Bagi mereka yang mempunyai anak, ingatlah seorang anak mempunyai isi hati yang mana kadang-kadang mereka sendiri tidak dapat menggambarkan dengan kata-kata apakah maksud luahan hatinya itu. Mahu tidak mahu kita perlu memahami isi hatinya supaya dapat membentuk anak-anak kita dengan acuan yang benar-benar kita inginkan. Sikap anak-anak tidak sama. Namun isi hati mereka mungkin tidak jauh berbeza. 


Dengarkanlah luahan hati mereka ketika kita masih lagi diberi peluang membahagiakan mereka.

1. Ibu, ayah cintailah aku sepenuh hatimu.

2. Aku ingin jadi diri sendiri, maka hargailah aku.

3. Cubalah mengerti aku dan cara belajarku.

4. Jangan marahi aku di hadapan orang ramai.

5. Jangan bandingkan aku dengan kakak dan adikku.

6. Ayah-ibu, jangan lupa, aku adalah dirimu dimasa lalu.

7. Semakin hari umurku bertambah, maka jangan anggap aku berterusan  anak kecil.

8. Biarkan aku mencuba, beritahu saja bila aku salah.

9. Jangan membuatku bingung, maka tegaslah padaku.

10. Jangan suka mengungkit kesalahan-kesalahanku.

11. Aku adalah ladang pahala bagimu.

Ibu, ayah, aku ini adalah anakmu yang telah kian lama kau nantikan, aku ingin jadi sepertimu suatu hari nanti, menjadi bapa dan ibu kepada cahaya mataku sendiri. Berilah ku sedikit peluang dan harapan agar dapat ku lalui semua ini seperti mana yang pernah kau lalui ketika menyambutku di hari yang bersejarah itu. InsyaAllah bila tiba masanya nanti, jasamu tidak akan sekali aku lupakan. Inilah suara hati dari.....Anakmu....

Hayatilah video ini dari kacamata dan hati seorang anak. Tonton video disini.

13 Ogo 2012

couch mode print story

Kisah Rasulullah Mendapat Lailatul Qadar di Malam ke 27 Ramadhan



Selamat datang ke blog Blogger Theory. Sedar tak sedar, sudah masuk hari ke 24 kita berpuasa, hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk kita menyambut bulan kemenangan bulan Syawal. Sebagai seorang hambaNya, marilah kita sama-sama memohon keampunan daripadaNya di bulan yang mulia ini, moga kita semua tergolong dikalangan orang yang beriman.

Disebalik malam-malam terakhir Ramadhan ini, tersembunyi satu malam yang lebih baik dari seribu bulan yang dikurniakan oleh Allah SWT buat hambaNya. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sedang duduk i’tikaf semalam suntuk pada hari-hari terakhir Bulan Suci Ramadhan. Para sahabat pun tidak sedikit yang mengikuti apa yang dilakukan Nabi SAW ini. Beliau berdiri solat mereka juga solat, beliau menegadahkan tangannya untuk berdoa dan para sahabatpun juga serempak mengamininya. Saat itu langit mendung tidak berbintang. Angin pun meniup tubuh-tubuh yang memenuhi masjid. Dalam riwayat tersebut malam itu adalah malam ke-27 dari bulan Ramadhan.

Disaat Rasulullah SAW dan para sahabat sujud, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Masjid yang tidak berbumbung itu basah dipenuhi air hujan. Salah seorang sahabat ada yang ingin membatalkan solatnya dengan niat ingin berteduh dan lari dari saf, namun niat itu dibatalkan selepas dia melihat Rasulullah SAW dan para sahabat yang lain tetap sujud dengan khusyuk tidak bergerak. Air hujan semakin memenuhi seluruh masjid dan membasahi seluruh tubuh Rasulullah SAW serta para sahabatnya yang berada di dalam masjid tersebut, akan tetapi Rasulullah SAW dan para sahabat tetap sujud dan tidak beranjak sedikitpun dari tempatnya.

Beliau basah kuyup dalam sujud. Namun sama sekali tidak bergerak seolah-olah beliau sedang asyik masuk kedalam suatu alam yang melupakan segala-galanya. Beliau sedang masuk kedalam suatu alam keindahan. Beliau sedang diliputi oleh cahaya Ilahi. Beliau takut keindahan yang beliau saksikan ini akan hilang jika beliau bergerak dari sujudnya. Beliau takut cahaya itu akan hilang jika beliau mengangkat kapalanya. Beliau terpaku lama sekali di dalam sujudnya. Beberapa sahabat ada yang tidak kuat menggigil kedinginan. Ketika Rasulullah SAW mengangat kepala dan mengakhiri solatnya, hujan pun berhenti seketika.

Anas bin Malik, sahabat Rasulullah SAW bangun dari tempat duduknya dan berlari ingin mengambil pakaian kering untuk Rasulullah SAW. Namun beliau pun mencegahnya dan berkata “Wahai Anas bin Malik, janganlah engkau mengambilkan sesuatu untukku, biarkanlah kita sama-sama basah, nanti juga pakaian kita akan kering dengan sendirinya. ” Anas pun duduk kembali dan mendengarkan dengan seksama cerita Rasulullah SAW mengapa beliau begitu lama bersujud. Masya Allah….ternyata ketika tadi Rasulullah SAW, dan disaat hujan mulai turun, disaat itu pula malaikat dibawah pimpinan jibril turun dalam keindahan dan bentuk aslinya. Mereka berbaris rapi dengan suara gemuruh tasbih dan tahmid mereka bergema dilangit dan dibumi serta alam semesta saat itu dipenuhi dengan cahaya ilahi. Inilah yang membuat Rasulullah SAW terpaku menyaksikan keindahan dan cahaya yang sama sekali tidak pernah dilihat oleh mata. Gema tasbih dan tahmid malaikat yang tak pernah didengar oleh telinga dan suasana yang tidak pernah dibayangkan oleh fikiran manusia.

Itulah lailatul qadar. Tahukah kalian, apakah Lailatul Qadar ?

Lailatul qadar yang sesaat itu lebih baik dari pada seribu bulan. Di malam itu, para malaikat dibawah pimpinan Jibril turun atas izin Allah SWT, mereka menebarkan kedamaian, keselamatan, kesejahteraan dan mengatur segala urusan, mereka menyampaikan salam sampai terbitnya fajar keseluruh semesta alam.

Sekarang kita sudah hampir ke penghujung bulan Ramadhan, dan diakhirnya kita mendapat pembebasan dari api neraka. Pada malam-malam terakhir, para malaikat turun dari langit untuk menaburkan kasih sayang Allah SWT kepada para hambanya dan menyampaikan salam kepada kaum beriman hingga terbitnya fajar, itulah yang dinamakan lailatul qadar, malam yang lebih afdhal daripada seribu malam.

Lailatul Qadar adalah malam kebesaran Allah SWT, malam keagungan-Nya, malam pengampunan-Nya, malam yang dimiliki-Nya untuk memberi maaf kepada para pembuat dosa dan menebarkan kasih sayang kepada para hamba-Nya. Dilangit ada kerajaan sangat besar yang mengatur dan mencatat segala amal manusia dimuka bumi ini. Ketika para malaikat melihat kitab catatan amal manusia, mereka iri dengan amal yang hanya khusus dilakukan penduduk bumi dimalam-malam lailatul qadar. Malaikat pun tidak ada yang dapat menirunya. Salah satu di antaranya adalah rintihan taubat para pembuat dosa yang kemudian diampuni segala dosa-dosanya.

Allah SWT berfirman dalam sebuah hadist qudsi: “Aku lebih suka mendengarkan rintihan para pembuat dosa ketimbang gemuruh suara tasbih. Kerana gemuruh suara tasbih hanya menyentuh kebesaranKu, sedangkan rintihan para pembuat dosa menyentuh kasih sayangKu.”